My Photo
Nurul 'Ain
Ampang, Selangor, Malaysia
Hanya bersandarkan pada nama popular Ain :) Aku tidak sesempurna kau dan aku bahagia mengetahuinya. Dan hanya aku saksi dan hanya DIA hakim yang boleh menilai dan mentafsir hatiku dan siapakah diriku yang sebenarnya. Insan kerdil yang hanya mengharap redha Illahi untuk terus berjuang dijalanNya :)

Thursday, 24 November 2011

Bertunang atau Bercouple, Apa Bezanya?

Bismillahirahmanirahim

Kita semua tahu, bertunang itu ada dalam agama. Tetapi kita kadang kadang lupa, bahawa setiap urusan agama ada tujuan (maqasid) yang tersendiri. Poligami sebagai contoh, tidak boleh sewenang-wenang nya dijadikan ‘senjata’ kononnya sunnah, lalu diambil sambil lewa sehingga mencetuskan pelbagai kes penganiayaan kepada wanita dan sebagainya.

Bertunang juga begitu. Tujuan utamanya adalah untuk lebih mengenali antara satu sama lain, bukan sahaja dari segi individu tetapi juga dari segi keluarga. Dan perhubungan ini WAJIB dikawal. Sebab itu, bila melibatkan keluarga, maka ia diharap menjadi satu garis sempadan yang boleh menjaga dan mengawal.

Dalam fatrah bertunang pula, sebaiknya peluang itu diguna sebaik mungkin untuk menyiapkan diri secara serius, membuat perbincangan berkaitan masa depan serta menguruskan hal ehwal perkahwinan. Begitu juga fatrah pertunangan sewajarnya dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan antara satu sama lain. Dari situ, ia akan memberi kesan yang positif secara bersama selepas perkahwinan nanti. Baik, sekarang kita perlu perbetulkan kembali tanggapan kita kepada pertunangan itu sendiri.

Cuba lihat sekeliling kita, berapa ramai manusia yang gagal membezakan antara bercouple dan bertunang?

Contoh situasi :

Keluar berduaan setiap minggu. Naik kereta bersama. Pergi shopping bersama. Makan bersama. Kemudian berpegangan tangan setiap kali berjumpa. Dekat facebook penuh dengan gambar berdua. Apabila ditanya, katanya : kami sudah bertunang. ( mak ayah pun bagi ).

Subhanallah.

Anda sudah memijak satu anak tangga menuju perkahwinan, tinggal masa untuk akad nikah sahaja lagi, alangkah sayangnya kalau anda masih tidak tahu apa itu pertunangan yang sebenarnya dalam Islam.

TUNANG ATAU COUPLE?

Kesimpulannya, couple itu tidak OK. Secara jelas, terang lagi bersuluh. Itu kalau benar benar mengikut garis panduan Islam ( Al-Quran / Sunnah ). Tetapi kalau ikut kitab keluaran barat, mungkin tidak.

Sekarang, saya tanyakan pula, apa beza situasi di atas ( bertunang ) dengan situasi bercouple?

Jawabnya, tiada beza. Sama sahaja. Dosanya sama. Maksiat yang sama. Tegahan yang sama. Haram yang sama.

Malangnya, hari ini ramai orang mengikat tali pertunangan, kemudian melakukan hal yang serupa sewaktu belum bertunang, atau hal-hal yang kebiasaannya dilakukan oleh orang bercouple, kemudian menganggap itu sebagai ‘halal’.

Sebenarnya, dalam situasi sedemikian, anda sebenarnya tetap dikira sebagai bercouple. Pandangan anda kepada pasangan pada keadaan-keadaan yang tidak diharuskan, tetap haram. Pegang tangan, tetap haram. Pakai wangi-wangian keluar dating, tetap haram, bergayut lama-lama dan bercakap hal-hal yang tidak berkaitan, tetap haram. Melakukan perkara-perkara yang boleh membawa mukaddimah zina, tetap haram. Walaupun anda telah diikat dengan tali pertunangan.

Jadi kena faham, bertunang tidak menghalalkan sesuatu apa pun yang diharamkan sebelum bertunang.
Bertunang itu bagaimana? Ibaratnya, ada mengikat janji. Itu sahaja. Janji untuk berkahwin kiranya ada jodoh. Apabila telah ditunangkan, maka si perempuan tidak lagi boleh menerima pinangan dari orang lain.

Pada saya, bertunang sehingga 4,5 tahun bukan suatu perkara yang bagus. Itu pandangan saya. Bahkan kalau ada kawan2 yang bertanya pendapat tentang bertunang, saya akan nyatakan demikian. Usahlah bersyarah kepada saya tentang contoh si fulan dan si fulan yang ‘berjaya’, tetapi tolong baca dengan mata hati segala kisah kegagalan sedia ada akibat dari pertunangan yang terlalu lama. Apa relevannya anda mengikat seorang wanita/lelaki sehingga bertahun-tahun, dalam keadaan anda tidak nampak jalan untuk mengahwininya?

Saya tidak menolak secara mutlak, dan tidak mengatakan boleh secara mutlak. Ia bergantung kepada situasi.
Cuma, kalau ditanya bertunang itu bagaimana, jawabnya seperti di atas. Tidak sesekali pertunangan itu menjadi lesen atau tiket untuk anda ringan-ringan, keluar berdua-duaan atau bersentuhan. Jika itu anda lakukan, maka hukumnya tetap haram.

Realiti

Sedikit sangat yang benar-benar mengikut ‘undang-undang′ ketika tempoh pertunangan. Rata-rata nya main redah sahaja. Pada saya, realiti ini sangat menyedihkan. Seperti juga bercouple, sebab ia memberi kesan pada HATI, maka dalam bab pertunangan, juga begitu. Ia sangat memberi kesan pada HATI.

Anda mahu menuju sebuah perhubungan yang diredhai, lalu anda bertunang. Satu langkah yang murni telah anda mulakan. Tapi sayangnya, anda tidak benar-benar menjaga hubungan tersebut sebagai satu amanah dari Allah. Apakah anda menyangka anda mampu menjaga amanah Allah selepas berkahwin, sedangkan sebelum berkahwin anda tidak pernah mahu menjaganya? Tepuk dada, tanya iman.

Kesimpulan

1- Bertunang tidak sama dengan bercouple, kerana pertunangan itu sebahagian dari syariat Islam yang mempunyai maqasid tersendiri.

2- Bertunang boleh menjadi sama dengan bercouple, terutama dalam bab dosa pahalanya, iaitu apabila masing-masing tidak menjaga batas yang telah digariskan oleh syara’.

3- Dalam bab hubungan lelaki dan perempuan ( ikhtilat ), tiada pendapat yang syadid mahupun tidak syadid, secara dasarnya. Ini kerana kesemua pendapat tetap merujuk kepada nas Al-Quran dan Sunnah, yang mana meletakkan garis panduan yang jelas dan terang.

4- Method menyatakan larangan, menegah, mencegah dan sebagainya boleh menjadi penentu penerimaan orang yang mendengar. Ada orang boleh terima dengan cara direct, ada orang perlu dipujuk, ada orang perlu berkias dan sebagainya.

5- Lafaz akad nikah adalah satu2nya cara yang boleh menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan, manakala selain itu tidak ada.

Sekian
Wassalam
-motivasicintabersyariat-



0 ♥ ♥ ♥: